Pekebun ditemukan maut di Jambatan Victoria



Sungai Siput: Lelaki warga emas ditemukan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di laluan pejalan kaki di monumen bersejarah Jambatan Victoria, Karai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, getah sekerap didapati bertaburan di sebelah lelaki warga emas yang juga seorang pekebun berusia lingkungan 60 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang besi bersebelahan laluan pejalan kaki di atas jambatan terbabit.

"Terdapat kesan geseran pada tiang besi atas jambatan yang menghubungkan pekan kecil Karai dengan Seberang Karai itu, dipercayai hasil geseran motosikal mangsa.

"Buat masa ini, kami belum dapat pastikan lagi punca kematian mangsa sehinggalah hasil bedah siasat di Hospital Sungai Siput diperoleh kelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 1:25pm
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Gambar media sosial

#HarianMetro
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong

Nenek di Brazil lahirkan cucu sendiri

Jumpa mayat tanpa kepala, lengan kiri dan kaki