Empat suspek tetak lelaki hingga maut ditahan


Sepang: Seorang lelaki maut ditetak di hadapan kediamannya di Taman Sri, Sungai Pelek, di sini, malam tadi, sebelum empat suspek diberkas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 45 tahun itu yang juga penganggur tinggal di rumah miliknya bersama teman wanita berusia 45 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan teman wanita mangsa, mereka tinggal di rumah itu sejak dua bulan lalu dan merancang untuk berkahwin.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan pada 11.30 malam mangsa mengadu ingin muntah dan segera keluar rumah.

"Ketika membuka pintu pagar depan, secara tiba-tiba datang sebuah kereta berwarna merah dinaiki empat atau lima lelaki berhenti di depan rumah.

"Dua lelaki keluar dari kereta sebelum seorang daripadanya menetak mangsa di belakang badan dan kepala, manakala seorang lagi memukul di bahagian kepala dengan topi keledar lalu melarikan diri," katanya.

Wan Kamarul berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah parang, topi keledar dengan kesan darah di atas lantai.

Katanya, bertindak atas maklumat, kereta digunakan suspek iaitu Proton Iswara berwarna merah dan Perodua Bezza warna putih ditemui di Ladang Sepang.

"Hasil siasatan dan maklumat pada 9.30 pagi hari ini, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor pergi ke Ladang Sepang dan menangkap empat lelaki serta merampas dua kereta terbabit serta empat telefon bimbit suspek.

"Tiga suspek berumur antara 25 hingga 32 tahun mempunyai rekod lampau manakala seorang suspek berusia 33 tiada rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 8:52pm
Oleh Samadi Ahmad
am@hmetro.com.myVideo/gambar: Media sosial

#HarianMetro
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong