VIDEO: Korban kebakaran penjara Indonesia meningkat kepada 44 orang





TANGERANG – Angka kematian akibat kebakaran penjara di Indonesia meningkat kepada 44 orang, kata pihak berkuasa hari ini ketika anggota keluarga bergegas untuk menghantar sampel  asid deoksiribonukleik (DNA)  bagi membantu mengenal pasti identiti banduan yang terkorban.


Jumlah korban kekal 41 orang sehari sebelumnya selepas kebakaran berlaku  di penjara yang padat itu di Tangerang, pinggir Jakarta  awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Menteri Kehakiman, Yasonna Laoly berkata bahawa  tiga daripada lapan banduan yang  parah meninggal dunia di hospital hari ini.

“Mayat mereka masih berada di bilik mayat. Kami bekerjasama  dengan keluarga mangsa  agar mereka dapat mengambil mayat-mayat tersebut untuk dikebumikan,”  kata Yasonna kepada wartawan.


Mayat-mayat tersebut  tidak memerlukan ujian DNA kerana masih dapat dikenal pasti, walaupun mengalami luka melecur sehingga  90 peratus, tambah menteri berkenaan.

Polis telah menerima 31 sampel DNA daripada anggota  keluarga beberapa banduan yang terbunuh untuk tujuan pengenalan diri.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran itu  yang tersebar dengan pantas ke serata sebuah blok penjara  ketika kebanyakan banduan  sedang tidur dan  terkurung di dalam sel mereka.

Kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) semalam, anggota-anggota bomba berjaya  mengawal api. Kebakaran itu berlaku di sebuah blok menempatkan pesalah  yang dipenjara atas kesalahan dadah.


Pihak berkuasa mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada kerosakan elektrik.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa sistem elektrik penjara itu tidak dinaik taraf sejak ia dibina pada tahun 1972 tetapi jumlah kematian besar-besaran itu dikatakan berpunca  daripada masalah kesesakan.

Penjara itu menempatkan  lebih daripada  2,000 banduan, demikian menurut sebuah laman web pemerintah iaitu  lebih  tiga kali ganda kapasitinya.

Blok di mana kebakaran berlaku mempunyai kapasiti maksimum 40 tahanan  tetapi menempatkan seramai 120 banduan. – AFP

Oleh KOSMO!
9 September 2021, 8:31 pm

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong