Pengembala lembu didakwa bunuh kerani wanita



Butterworth: Pengembala lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh kerani wanita, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M Kirubakaran, 29, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mengikut kertas pertuduhan, Kirubakaran didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Ling Tee, 40.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Sungai Jawi, Nibong Tebal antara 3 hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu di mahkamah sama, Kirubakaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ketika pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atasnya dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan kira-kira jam 1 pagi pada 29 Ogos lalu.

Kirubakaran didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding kes, Nurameera memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan semula untuk laporan bedah siasat dan patologi.

"Tiada ikat jamin (kes dadah) diberikan kepada tertuduh berikutan dia berdepan dengan pertuduhan bunuh," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 November nanti untuk sebutan kedua-dua kes itu.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju T berwarna ungu dibawa masuk ke perkarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi.

Pendakwaan dijalankan di Mahkamah Majistret (Munisipal) berikutan Mahkamah Majistret Jawi sedang diubahsuai.

Akhbar baru-baru ini, melaporkan seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tragis di bawah katil selepas dipercayai dirogol dan diliwat oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.

Mangsa dilaporkan maut selepas mulutnya disumbat dengan seluar dalam dan ditekup ketika mangsa meronta selepas suspek memecah masuk rumah itu kira-kira jam 2 pagi.

Disiarkan pada: September 7, 2021 @ 11:45am
Oleh Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

#HarianMetro
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong