Empat beranak rentung



PENAMPANG: Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Taman Hungab, Jalan Nosob, di sini, awal pagi tadi.



Mangsa yang terkorban, pasangan suami isteri Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon Wong, 18, dan Eric Wong, 15 tahun.



Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, rumah berkeluasan 55 meter persegi itu musnah terbakar 100 peratus, manakala Proton Saga dan Perodua Alza turut musnah 30 peratus.


Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba, Hamsa Isnurdini, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi.


Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.


Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.


Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan bomba menemui empat mangsa rentung di dalam rumah berkenaan.

"Tiga mangsa lelaki terperangkap di dalam bilik di tingkat atas, manakala mangsa wanita ditemui di dalam bilik air," katanya.


Hamsa berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM.

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
September 7, 2021 @ 8:38am
Gambar: Bomba

#BeritaHarian
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong