Maut diserang sakit jantung ketika tunggang motosikal

Mangsa yang tidak sempat meminta bantuan penduduk kampung meninggal dunia akibat sakit jantung di Kampung Lembaga, Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai diserang sakit jantung ketika sedang menunggang motosikal di hadapan sebuah rumah penduduk di Kampung Lembaga di sini hari ini.


Dalam kejadian pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Kasim Ahmad, 57, berasal dari Kampung Batu 2, Kuala Nerus di sini meninggal dunia dipercayai terjatuh daripada motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya ketika berhenti di kawasan tersebut.


Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli peralatan elektrik di sebuah kedai di bandar.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai diserang sakit jantung dan sempat memberhentikan motosikalnya berhampiran sebuah rumah penduduk.


“Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai cuba meminta pertolongan daripada penduduk tidak sempat turun daripada motosikalnya sebelum terjatuh di lokasi kejadian.

“Insiden itu menyebabkan motosikal yang ditunggangnya turut terbalik menimpa bahagian kaki mangsa yang mempunyai rekod sakit jantung dan beberapa penyakit lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambahnya, ujian saringan dilakukan juga mendapati mangsa negatif jangkitan Covid-19. -K! ONLINE

Oleh AIMUNI TUAN LAH
11 September 2021, 5:22 pm

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong