Mayat anggota tentera ditemui 40 km dari lokasi kejadian
BERA – Anggota tentera yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang ketika melakukan latihan taktikal Ahad lalu ditemui hari ini.
Mayat anggota tentera 10 Briged Para yang berpakaian tentera itu ditemui bersama senjata yang masih berada di badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Mansor Samsudin berkata, mayat mangsa, Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa,27 ditemukan berhampiran Kampung Serengkam di Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi kejadian.
“Mayat mangsa ditemui orang kampung kira-kira pukul 7.15 pagi yang melihat mayat dalam keadaan terapung sebelum menghubungi pihak polis.
“Mayat mangsa kemudian dibawa naik dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat,”katanya di sini, hari ini.
Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa di Sungai Pahang berhampiran Kampung Bohor Baru di sini.
Ahad lalu seorang anggota tentera, Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa,27 yang menjalani latihan taktikal Eksesais Para Predator hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan dekat Kampung Batu Bor di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberang sungai.
Mangsa meninggalkan seorang isteri Nur Aqila Safuan, 22, dan seorang anak berumur sembilan bulan.-K! ONLINE
Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
1 September 2021, 12:07 pm
Gambar: Bomba/media sosial
#Kosmo
#infosemasa
Comments
Post a Comment