Anak sakit mental didakwa cuba bunuh bapa

Tertuduh (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bapanya dengan sebilah pisau minggu lalu.


KOTA BHARU – Seorang pesakit mental didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya dengan menikam bahagian leher menggunakan sebilah pisau minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah cuba membunuh ayah kandung, Azmail Mohd. Salmon, 66, dengan cara menikam pada bahagian leher menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok, Bachok kira-kira pukul 10.40 pagi pada 24 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon agar tiada jaminan ditetapkan terhadap tertuduh kerana telah melakukan kesalahan yang serius.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh menerima rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini sejak lima tahun lalu.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, gara-gara berang mendengar tangisan anak saudaranya yang berusia empat tahun, seorang lelaki bertindak mengelar bapa kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 66 tahun cedera di leher, kepala, telinga, tapak tangan dan lengan selepas dikelar anaknya dengan pisau pemotong sayur.

Siasatan mendapati suspek dipercayai memarahi anak saudaranya kerana menangis sebelum dipercayai memukul bapanya dengan tangan dan pergi ke dapur mengambil pisau lalu mengelar beberapa bahagian badan warga emas tersebut.-K! ONLINE

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
1 September 2021, 12:49 pm

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong

Nenek di Brazil lahirkan cucu sendiri

Jumpa mayat tanpa kepala, lengan kiri dan kaki