VIDEO: 12 lelaki ditahan kerana bergaduh
GEORGE TOWN – Seramai 12 individu ditahan polis di sekitar kawasan bandar raya ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di kawasan Lebuh Farquhar di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, sekumpulan lelaki dipercayai sedang minum di sebuah restoran di situ dan kemudiannya berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan polis telah menahan 12 lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun ini ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar George Town.
“Mereka direman sehingga esok dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu pergaduhan dua kumpulan lelaki itu tular di media sosial dengan ada di antara mereka kelihatan menggunakan tukul besi bergaduh di kawasan sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar. – K! ONLINE
Oleh SAFINA RAMLI
2 Oktober 2021, 3:20 pm
Video: Media sosial
#Kosmo
#infosemasa
Comments
Post a Comment