Lelaki maut motosikal terbabas di Simunjan


KUCHING: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Gedong-Serian, Simunjan, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Khairul Mohamad Mustapha, 35, yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang seorang diri dari rumahnya beralamat Kampung Kanchong Baru, Hulu Gedong, Simunjan menghala ke Ranchan, Serian.


"Setiba di lokasi kemalangan, dipercayai mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang tepi jalan menyebabkan motosikal mangsa tercampak ke kawasan semak samun manakala mangsa terbaring di atas jalan raya berhampiran penghadang tepi jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Gedong.

Dalam pada itu, Alexson memberitahu, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di kawasan jalan lurus dan berturap rata.


"Semasa kemalangan, tiada seberang kesan kenderaan lain yang berlanggar dengan motosikal ditunggang mangsa," ujarnya.

Menurutnya lagi, laluan jalan merupakan jalan satu lorong untuk kedua-dua hala dan semasa kejadian cuaca adalah cerah dan terang.

Tegasnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Oleh Rusnan Mustafa
Kategory Sarawak
Gambar: Media sosial

#UtusanBorneo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong