Setengah jam tersepit bawah tayar lori





PADANG BESAR – Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan akibat tersepit di bawah tayar lori kira-kira 30 minit selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Dato’ Kayaman di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, motosikal ditunggangi wanita berusia lewat 30-an terbabit serta dua buah kereta dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan selepas cuba mengelak motosikal lain.

Difahamkan, seramai tiga mangsa mengalami kecederaan.

Kejadian turut tular di media sosial apabila memaparkan seorang wanita merayu pertolongan orang ramai supaya mengalihkan kenderaan berat yang menindih bahagian kakinya.

Menurut seorang saksi, Abdul Rashid Tahir, 49, dia dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Batu Bertangkup dan berada agak jauh dari persimpangan tersebut ketika kejadian berlaku.

“Sebaik tiba di lokasi, saya lihat dua wanita terbaring di atas jalan raya dengan salah seorang daripadanya dalam keadaan tersepit kedua-dua kaki di bawah tayar hadapan kiri lori sambil merayu orang ramai mengalihkan kenderaan berat itu.

“Orang ramai yang berhenti melihat kemalangan tersebut mengambil keputusan mengangkat lori berkenaan beramai-ramai sebelum saya menarik keluar mangsa yang tersepit di bawah tayar lori,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah lori dan masing-masing dua kereta dan motosikal. – K! ONLINE

Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Oleh SYED AZLAN SAYID HIZAR
24 Oktober 2021, 11:58 am
Video/gambar: Media sosial

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong