Satu lagi mayat ditemui di Pantai Rambah


PONTIAN – Satu lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan mangsa kejadian bot karam selepas dipukul ribut ditemui di Pantai Rambah di sini kelmarin.


Mayat tanpa identiti itu yang disyaki warga Indonesia dijumpai pada pukul 7.20 pagi kira-kira 500 meter dari persisiran pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, penemuan mayat terbaharu itu menjadikan jumlah terkini mangsa lemas adalah seramai empat orang.


Menurutnya, mangsa dipercayai cuba menyelusup masuk ke negara ini dengan menggunakan sebuah bot melalui jalan tidak diwartakan.

“Polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam yang dipercayai dinaiki sekumpulan PATI.

“Kita masih menjalankan operasi di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Shofee berkata, polis turut menemui sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat mayat terbabit mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat. – K! ONLINE

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
12 Oktober 2021, 5:49 pm

Berita berkaitan: 3 mayat ditemui di celah pokok bakau

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong