Lelaki jatuh sungai kerana sawan ditemukan selepas tiga hari


ARAU : Pencarian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Tambun Tulang dipercayai mengalami sawan ketika menunggang motosikal sejak Rabu lalu berhasil apabila mayatnya ditemukan di tandop Simpang Empat berhampiran Masjid Simpang Empat di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Shahril Zohari, 20, yang berasal dari Kampung Gobek, Tambun Tulang ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 9.25 pagi.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tersangkut di kunci air iaitu kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.31 malam Rabu lalu, mangsa dipercayai mengalami sawan semasa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berhampiran dengan rumahnya sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof memberitahu, mangsa yang tidak mempunyai lesen dipercayai mengalami sawan dan baru sahaja menjalani pembedahan di kepala baru-baru ini.

Katanya, mayat telah ditemukan terapung di tandop Simpang Empat kira-kira pukul 9.25 pagi dan berjaya dibawa naik oleh anggota bomba kira-kira pukul 10.55 pagi.

“Mayat telah dibawa naik dengan bantuan pihak bomba dan hasil pengecaman melalui ahli keluarga, mayat tersebut telah disahkan adalah mangsa.

“Mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.  -UTUSAN ONLINE

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
29 Oktober 2021, 2:09 pm
Gambar: Bomba

#UtusanOnline
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong