Bunuh wanita dalam pantang, hukuman mati lelaki kekal


PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pembantu pengawal keselamatan kerana membunuh seorang wanita yang sedang berpantang, enam tahun lepas.

Rayuan terakhir Mohd Azmirul Shamsuddin, 42, terhadap sabitan membunuh dan hukuman mati, sebulat suara ditolak oleh panel tiga hakim hari ini.

Panel itu yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mensabitkan Mohd Azmirul bagi kesalahan membunuh adalah selamat untuk dikekalkan.

“Kami telah mempertimbangkan isu ini secara teliti, berdasarkan bukti serta alasan penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Dalam fikiran kami, isu utama ialah berkaitan keterangan pakar patologi menurut Seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan.

“Adalah benar bahawa pakar patologi, Dr Karunakaran Mathiharan (SP14) tidak menyatakan ‘kecederaan tubuh yang dialami si mati adalah mencukupi untuk menyebabkan kematiannya’.

“Bagaimanapun, jawapan kepada soalan pihak pendakwaan mengenai jenis kecederaan, beliau (pakar patologi) berkata dalam istilah tertentu bahawa mangsa akan mati akibat sesak nafas kerana keadaan mangsa dengan mulut disumbat selain tangan dan kaki diikat serta ditinggalkan di bawah timbunan pakaian. Si mati tidak mempunyai peluang untuk terus hidup,” katanya, menurut laporan Bernama.

Hakim Ong berkata berdasarkan semua keadaan itu, mahkamah tidak terpengaruh dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam perayu.

“Oleh itu, rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman kekal,” kata Hakim Ong yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Mary Lim Thiam Suan.

Pada 15 Okt 2018, Mohd Azmirul didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 22 Okt 2019.

Mohd Azmirul didakwa membunuh Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 23, di sebuah apartmen di Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, jam 8.22 malam pada 4 Mac 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Azmirul diwakili peguam G C Tan manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bagi pihak pendakwaan.

FMT Reporters - October 21, 2021 9:42 PM

#FreeMalaysiaToday
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong