Remaja maut dalam kemalangan dengan jentolak
KLANG – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.21 tengah hari.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kemalangan berlaku antara sebuah kereta Perodua Myvi dan jentolak.
“Seramai tiga individu berada di dalam kereta itu termasuk seorang daripadanya yang disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa yang menaiki Myvi turut cedera ringan dan telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Seorang lelaki yang juga pemandu jentolak berkenaan bagaimanapun terselamat,” ujarnya.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
1 Oktober 2021, 5:15 pm
Gambar: Media sosial
#Kosmo
#infosemasa
Comments
Post a Comment