Wanita OKU t*rjun jejantas selepas ditegur abang

Lokasi kejadian di mana seorang wanita ditemui dalam keadaan terbaring dan cedera selepas dipercayai terjun dari jejantas

SERDANG – Akibat ditegur oleh abangnya kerana sering merayau dan menghilangkan diri, seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) bertindak terjun daripada jejantas dalam satu kejadian di Lebuh Raya Damansara Puchong menghala ke Shah Alam di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mangsa yang berusia 44 tahun ditemui oleh pengguna jalan raya kira-kira pukul 5.25 petang dalam keadaan terbaring serta cedera parah di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada pegawai perubatan, mangsa mengalami kecederaan bengkak pada mata kiri, cedera pada bahagian mulut akibat patah gigi dan bibir mangsa hampir koyak serta kedua-dua kaki mangsa disyaki patah.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang dan kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Merah namun keadaannya dilaporkan stabil dan pegawai perubatan berpendapat bahawa kecederaannya selari dengan kesan akibat terjunan atau jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anbalagan, mangsa dikatakan mempunyai masalah mental dan bertindak demikian selepas berlaku perselisihan faham dengan abangnya lalu mengalami tekanan dan cuba untuk membunuh diri.

“Punca perselisihan faham adalah kerana mangsa selalu merayau dan menghilangkan diri sehingga ditegur oleh abangnya dan selepas kejadian tersebut wanita berkenaan turut menyatakan mengalami tekanan dan ingin mati.

“Mangsa sebelum ini mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Teluk Intan, Perak namun datang ke Selangor empat bulan lalu untuk dijaga oleh abangnya dan dia akan mendapatkan suntikan untuk rawatan psikiatri di Klinik Kesihatan Batu 14 Puchong,” ujar beliau. – K! ONLINE

Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI
26 Ogos 2021, 11:33 pm

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong