Tendang bapa kerana berang ditegur

Suspek yang berusia 26 tahun.

KUALA LUMPUR – Berang kerana ditegur menconteng dinding, seorang lelaki tergamak memaki dan menendang bapa kandungnya sendiri sehingga mengakibatkan tulang rusuk mangsa patah dalam satu kejadian di rumah mereka di Pantai Dalam di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 68 tahun yang juga merupakan seorang pesara juruteknik.

“Menurut mangsa, kejadian berlaku setelah dia menegur anak bongsunya yang menconteng dinding rumah mereka dengan menggunakan ‘pen marker’ dan anaknya yang tidak berpuas hati telah bertindak memaki dan menendang lelaki itu pada bahagian rusuk sebelah kanan.

“Susulan kejadian itu, pengadu telah mengalami sakit pada bahagian badan serta leher lalu telah pulang ke rumah isterinya di Seremban dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Basri, pakar perubatan kemudiannya mengesahkan bahawa salah satu daripada tulang rusuk kanan mangsa telah patah dan pihak polis akan memohon laporan pemeriksaan awal daripada pegawai perubatan untuk melengkapkan siasatan.

“Pada hari sama kira-kira pukul 9.20 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah pergi ke rumah mangsa dan membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 26 tahun itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang tidak bekerja itu negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan suspek mengaku telah menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan diri daripada dipukul,” jelas beliau.

Tambah Basri, suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama dua hari sehingga 28 Ogos ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara selama tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” tegas beliau. – K! ONLINE

Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI
27 Ogos 2021, 6:18 pm

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong