Pesakit Covid-19 cuba lari dari hospital masih di ICU

Seorang pesakit cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat lima Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.

SUNGAI BULOH – Seorang pesakit Covid-19 yang parah selepas terjatuh dari tingkat lima Hospital Sungai Buloh ketika cuba melarikan diri baru-baru ini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan bantuan pernafasan.

Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Kaur Prem Singh berkata, sehingga kini pesakit lelaki berkenaan sudah menjalani sebanyak dua kali pembedahan akibat daripada kecederaan yang dialaminya.


“Ketika pesakit lelaki berkenaan duduk di bingkai tingkap hospital, beberapa petugas hospital termasuk pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sudah berusaha menariknya ke dalam namun pesakit berkenaan jatuh dan mengalami kecederaan.

“Sejurus insiden berlaku, ‘Code Blue’ telah diaktifkan dan pasukan petugas perubatan daripada Jabatan Kecemasan segera datang memberikan rawatan kecemasan dan membawa pesakit itu ke Jabatan Kecemasan bagi tujuan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan kejadian itu juga katanya, Hospital Sungai Buloh bertindak mengehadkan luas bukaan tingkap wad hospital yang sebelum ini terpaksa dibuka bagi tujuan pengudaran.

“Petugas barisan hadapan juga dikehendaki mengenal pasti pesakit berisiko untuk diberikan perhatian dan rawatan khusus oleh pihak wad.

“Pihak hospital juga telah membuat laporan polis dan insiden ini masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.




Kuldip berkata, sebelum kejadian berlaku, pesakit berkenaan ditempatkan di Wad Aras 5 selepas disahkan positif Covid-19.

“Tindakan agresif itu berlaku selepas pihak Hospital Sungai Buloh membuat penilaian tidak membenarkan permintaan pesakit itu pulang ke rumah berikutan dia masih berada dalam kategori 3A dan hari kedua di dalam wad.

“Untuk makluman, pesakit berkenaan masih memerlukan rawatan dan pemerhatian lanjut. Dia juga bertindak mencederakan jururawat serta cuba untuk mencederakan pesakit-pesakit lain yang sedang menerima rawatan di dalam wad aras sama,” katanya. – K! ONLINE

Oleh NUR HUDA MUSA
27 Ogos 2021, 6:54 pm
Video/Gambar: Hospital Sungai Buloh/Media sosial

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong