Pelajar cemerlang maut tidak sempat sambung pengajian di Mesir


BALING – Impian seorang remaja untuk menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir pada hujung bulan ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Simpang Empat Charok Nau, Jalan Baru Baling-Kupang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.49 pagi itu, mangsa, Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, merupakan bekas pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang dekat sini yang cedera parah meninggal dunia di lokasi kemalangan.


Allahyarham Muhammad Munzir pernah menerima anugerah Pelajar Terbaik Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah pada tahun lalu.



Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah Pekan Baling ke Kupang.



“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri jalan dari Taman Harmoni secara mengejut,” katanya di sini hari ini.



Katanya, MPV telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan motosikal menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia.


Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razak Saleh, 53, berkata, segala persiapan untuk anaknya berangkat ke Mesir pada hujung bulan ini telah disediakan.


“Arwah amat teruja untuk menyambung pengajiannya di Mesir dan segala persiapan telah dilakukan, cuma menunggu tarikh sahaja untuk berangkat pada hujung bulan ini.


“Semalam arwah ke Baling dan menumpang bermalam di rumah kawan baiknya kerana dia akan melakukan ujian menunggang motosikal dan telah pun lulus pagi tadi,” katanya. – K! ONLINE

Oleh NORLIA RAMLI
16 November 2021, 6:35 pm
Gambar: Media sosial

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong