10 terbunuh, 29 masih hilang bot dinaiki 60 PATI karam




KOTA TINGGI – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, manakala 29 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) hilang selepas bot yang mereka naiki karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau, di sini awal pagi tadi.



Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.


Jelasnya, maklumat itu dikongsikan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penawar yang memaklumkan menerima maklumat daripada pihak Markas Taktikal Tanjung Sepang mengenai penemuan bot tersebut bersama PATI di Pantai Tanjung Balau.


Katanya, berdasarkan maklumat awal, dianggarkan seramai 60 orang PATI berada di dalam bot berkenaan.


“Seramai 21 orang dilaporkan selamat dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia.


“29 orang mangsa masih tidak ditemui. Maritim Malaysia telah mengaktifkan Ops Carilamat pada pukul 8.50 pagi dan mengatur gerak pesawat AW 139 Agusta, kapal KM Tegas dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Al-Hasra Mohamed berkata, seramai tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 7.40 pagi.


Katanya, antara agensi lain terlibat dalam operasi itu adalah seramai 40 anggota Angkatan Tentera Malaysia. – K! ONLINE

Oleh MASTURAH SURADI
15 Disember 2021, 11:18 am
Video/gambar: BERNAMA/Bomba/APMM
Follow ig info.semasa.my

#Kosmo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong