Lelaki kurang upaya maut kereta dipandu bertembung lori tangki


BINTULU: Seorang lelaki kurang upaya maut setelah kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki bermuatan minyak kelapa sawit di jalan simpang pasar lama Tatau, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau Jankey Jikat berkata, mangsa, Ling Li Chuen, 53, beralamat di Jalan Putrajaya di sini, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 12.07 tengah hari dalam kejadian tersebut.

Katanya, mangsa sebelum itu berjaya dikeluarkan dari bahagian duduk pemandu yang remuk oleh pasukan bomba sekitar jam 12.05 tengah hari.

"Pasukan bomba BBP Tatau yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 pagi telah bergegas ke lokasi kejadian yang sejauh tiga kilometer (km)," katanya dalam kenyataan media.


Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba membuat pemeriksaan dan berusaha menyelamat serta mengeluar mangsa di tempat duduk pemandu menggunakan kelengkapan menyelamat.

"Usaha itu berjaya dilakukan untuk mengeluarkan mangsa dan seterusnya mangsa ditempatkan di atas pengusung.


"Namun mangsa disahkan meninggal dunia semasa pemeriksaan oleh petugas KKM Tatau.

"Susulan itu mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Seramai lapan anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi itu serta dibantu 10 anggota PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau dan tiga kakitangan KKM Tatau.
 
Oleh Abang Ismail Abang Su'ud

#UtusanBorneo
#infosemasa

Comments

Popular posts from this blog

Rozek kongsi resipi masakan di YouTube

Lelaki murung selamat lepas terjun Jambatan Tendong